27/09/2013

SOLAT HAJAT PERDANA 
PMR & SPM
2013

            Solat Hajat Perdana PMR & SPM telah diadakan pada Khamis, 26 September 2013. Majlis yang dilaksanakan di Masjid An Najah, Taman Daya melibatkan masyarakat setempat telah bermula pada jam 6.30 petang dan berakhir pada jam 9.00 malam. Majlis ini diadakan untuk memohon kepada Allah agar diberikan ketenangan dan kejayaan cemerlang kepada semua calon PMR dan SPM tahun 2013. Selain itu, majlis ini dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah sekali gus merapatkan hubungan silaturahim antara warga pendidik dan ibu bapa pelajar. Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah dalam semua urusan hidup.
             Majlis telah berjalan dengan lancar kerana mendapat kerjasama yang baik dalam kalangan AJK Masjid, para pentadbir, para ibu bapa, para guru dan pelajar. Semoga dengan terlaksananya program sebegini, pelajar-pelajar sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh para pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Pelajar lelaki, Para Ibu bapa dan Guru sedang mendirikan solat

Bacaan Surah Yaasin usai solat

Tetamu yang hadir sedang mendengar ucapan yang disampaikan


TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

27/08/2013

AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM



Selamat datang kepada Panel Penilai Pertandingan Surau Imarah Peringkat Negeri Johor 2013.

Syukur Alhamdulillah, kerana sekali lagi surau Raudhatul Jannah SMK  Taman Daya 2 telah terpilih  untuk bertanding dalam pertandingan surau sekolah-sekolah Negeri Johor tahun ini.









 Semoga semua kerjasama yang diberikan oleh warga islam SMKTD2 akan dirahmati.

TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

26/08/2013

PEMBERIAN DUIT RAYA & BERSALAM-SALAMAN SEMPENA AIDILFIRI


                Program ini dilaksanakan pada 2 Ogos 2013 bertempat di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Ia bertujuan untuk memberi kegembiraan kepada para pelajar dengan pemberian duit raya. Selain itu, program ini bertujuan memberi peluang kepada para guru dan pelajar bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar dan guru. 

Pelajar diberikan duit raya sambil bersalaman bersama guru

Pelajar beratur mengikut giliran untuk bersalaman bersama guru

Bersalam-salaman memohon ampun dan maaf


   




TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

PROGRAM ZIARAH QASEH RAMADHAN


           Program Ziarah Qaseh Ramadhan telah dilaksanakan pada 31 Julai 2013 bertempat di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Program ini bertujuan untuk mendidik para pelajar agar menghargai dan mensyukuri nikmat Allah swt serta mendidik warga SMKTD2 dengan budaya menderma dan mengasihi sesama insan. Selain itu, program ini merapatkan hubungan silaturahim warga sekolah dengan masyarakat sekitar dan menanamkan sifat prihatin dengan nasib masyarakat sekitar.
                Program ini melibatkan dua fasa pelaksanaan. Fasa pertama melibatkan kunjungan daripada guru-guru ke rumah pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan pelajar miskin seramai 100 orang. Pelajar turut menerima bantuan Ramadhan/Aidilfitri yang mengandungi barangan seperti beras, tepung, gula, susu, meehoon, ketupat, kordial, garam, dan minyak masak dalam anggaran RM80. Bagi Fasa kedua pula, seramai 20 orang pelajar telah dibawa membeli pakaian pakaian raya dengan peruntukan sebanyak RM100.
            Secara tidak langsung, program ini berjaya mempamerkan keprihatinan dan kasih sayang warga Islam SMKTD2 terhadap fakir miskin dan anak-anak yatim.

Antara barangan keperluan yang disediakan

Barangan yang telah siap dibungkuskan

Sumbangan disampaikan oleh Puan Pengetua kepada keluarga yang susah

Antara ibu bapa yang hadir untuk menerima sumbangan


                                      







TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

26/07/2013

PROGRAM TADARUS AL-QURAN


           Program Tadarus al-Quran ini telah dilaksanakan sepanjang waktu rehat pelajar pada bulan Ramadhan di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Program ini telah memberi peluang kepada semua warga Islam SMKTD2 untuk membaca al-Quran serta memberi didikan kepada semua warga Islam SMKTD2 untuk mengisi masa sepanjang bulan Ramadhan dengan perkara yang berfaedah. Secara tidak langsung, program ini berjaya memberi peluang kepada semua warga Islam SMKTD2 untuk melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadhan.


Tadarus al-Quran yang melibatkan pelajar KAA

Pelajar khusyuk membaca al-Quran

Al-Quran dekat di hati...




 









TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

18/07/2013

SOLAT TARAWIH


                Solat Tarawih telah diadakan pada 1 hingga 10 Ramadhan 1434H di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Solat ini telah memberi peluang kepada warga SMKTD2 dan masyarakat sekitar untuk menunaikan solat di surau sekolah. Selain itu, ia memberikan pengalaman kepada semua warga SMKTD2 dan masyarakat sekitar untuk solat tarawih bersama-sama di samping mengeratkan silaturahim kalangan pelajar, guru, dan masyarakat sekitar. Program ini telah berjaya memberi pengalaman kepada warga Islam SMKTD2 dan masyarakat sekitar untuk solat tarawih bersama-sama secara berjemaah.         

Jemaah (lelaki) sedang menunaikan solat tarawih
                        
Jemaah (perempuan) sedang menunaikan solat tarawih


TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

10/07/2013

KURSUS HAJI


             Kursus Haji telah dilaksanakan pada 5 Julai 2013 bertempat di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Program ini dilaksanakan untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 sebagai pendedahan kepada pelajar tentang cara-cara mengerjakan haji. Pelajar juga memperoleh pengalaman cara-cara memakai kain ihram, wukuf, melontar, tawaf, dan, saie. Secara tidak langsung, ia mengukuhkan kefahaman pelajar berkaitan silibus haji dan umrah. Intihanya, program ini berjaya memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar cara-cara mengerjakan haji.

Ustaz Talhah memberi penerangan tentang pemakaian ihram

Pelajar (lelaki) melontar di ketiga-tiga jamrah

Pelajar (lelaki) melakukan ibadah tawaf
Pelajar (perempuan) melakukan ibadah tawaf

Pelajar (lelaki) melakukan ibadah saie









TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

24/06/2013

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH


           Kursus Pengurusan Jenazah telah diadakan pada 21 Jun 2013 di Surau Raudhatul Jannah, SMKTD2. Program ini dilaksanakan untuk semua pelajar Islam tingkatan 3. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang kaedah pengurusan jenazah dan mendedahkan kepada pelajar hakikat kematian dalam kehidupan. Selain itu, ia juga memberikan pengalaman kepada pelajar untuk menguruskan jenazah. Secara tidak langsung, program ini dapat mengukuhkan kefahaman pelajar berkaitan silibus pengurusan jenazah. Program ini telah berjaya memberi pendedahan dan pengalaman  kepada para pelajar cara-cara mengurus jenazah dan mendapat kerjasama dalam kalangan pentadbir, guru-guru dan pelajar-pelajar.
 
Ustaz Talhah menerangkan keperluan untuk mengkafankan jenazah

Ustaz Talhah memberi penerangan cara-cara memandikan mayat

Jenazah dibalutkan dengan kain kafan

Jenazah sempurna dikafankan




TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

04/05/2013

SOLAT DHUHA



Solat Dhuha telah diadakan pada setiap pagi hari Jumaat, bertempat di Surau Raudhatul Jannah, SMK Taman Daya 2. Program ini merupakan anjuran bersama Makdis Sekolah dan Panitia Pendidikan Islam. Program ini juga melibatkan semua guru dan pelajar Islam yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 5. Program ini telah memberi peluang kepada semua warga Islam SMKTD2 untuk menunaikan solat sunat dan memberi didikan kepada warga Islam SMKTD2 agar mengisi masa dengan perkara yang berfaedah.

Sujud kepada Ilahi Yang Maha Kuasa

                       
                        Pelajar-pelajar (lelaki) khusyuk mendirikan solat

Pelajar usai menunaikan solat






TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

14/04/2013

Program Tahbibul Lughah 2013


PROGRAM TAHBIBUL LUGHAH
22 Mac 2013
      
Tahbibul Lughah bermaksud mencintai bahasa. Ia merujuk kepada satu program yang dirangka khusus kepada para pelajar kelas aliran agama (KAA) bagi memupuk kecintaan mereka kepada bahasa terutama bahasa Arab.

            Objektif program ini diadakan adalah untuk menepati matlamat berikut :
a) Memupuk rasa cinta kepada bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran.
b) Merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga SMK Taman Daya 2.
c) Mendidik para pelajar agar sentiasa berlumba-lumba mengerjakan amal kebaikan.
d) Memupuk semangat dan potensi kepimpinan dalam kalangan pelajar.
e) Membiasakan warga Islam SMK Taman Daya 2 dengan persekitaran ilmu Islam.

Program ini juga mempunyai matlamat utama iaitu mencintai bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran. Program ini merupakan anjuran Pengurusan Kelas Aliran Agama (KAA) dan kerjasama Surau Raudhatul Jannah. Sepanjang program ini dijalankan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti kuiz bahasa Arab, Nasyid, Hiwar, Hafazan dan memperkenalkan perkataan Arab semasa perhimpunan.

Secara keseluruhan, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan meninggalkan impak yang positif kepada para pelajar KAA khasnya dan warga sekolah amnya.

TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

15/02/2013

TAZKIYATUN NAFS & MAULIDUR RASUL 1434 H

PROGRAM TAZKIYATUN NAFS (QIAMMULLAIL)
&
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1434 H
1 - 2hb FEB 2013

"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"


         Manusia terdiri daripada dua aspek penting iaitu aspek jasmani dan rohani. Kita selalunya akan memperhebatkan usaha bagi menambahbaikkan aspek jasmani agar elok dan indah di pandangan mata. Sehubungan itu, dengan penuh keinsafan dan harapan untuk menyaksikan generasi pelajar muncul sebagai individu yang seimbang jasmani dan rohani, Unit Makdis SMK Taman Daya 2 dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Persatuan Pendidikan Islam telah menjalankan sebuah program seiring dengan objektif pembentukan individu pelajar iaitu Program Tazkiyatun Nafs khusus untuk pelajar beragama Islam yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM serta pelajar KAA.
             
            Antara objektif program ialah :
1) Menambahkan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah swt.
2) Membentuk jiwa, sahsiah dan akhlak yang baik dalam kalangan peserta.
3) Sebagai pengisian rohani kepada semua warga sekolah.
4) Agar pelajar sentiasa cemerlang di dunia dan akhirat.
5) Memberi pendedahan tentang keseronokan beribadah kepada para peserta.


           Beberapa aktiviti telah dijalankan seiring dengan objektif program. Antaranya ialah Solat Asar, Maghrib, Isya' dan Subuh secara berjemaah. Bacaan Yaasin dan tahlil turut dilaksanakan oleh pelajar. Pada waktu malam, ceramah berkaitan dengan remaja telah disampaikan oleh Ustazah Fuziah binti Sahar. Selain itu, pelajar turut melaksanakan Solat Sunat Wuduk, Sunat Taubat, Sunat Tahajjud, Sunat Hajat, Sunat Tasbih dan Sunat Witir. 








         Majlis sambutan Maulidur Rasul pula telah dilaksanakan pada 2hb Feb 2013. Pelajar telah berarak dan berselawat bramai-ramai bermula dari sekolah ke kawasan perumahan, Flat di Jalan Enau 20 dan pulang semula ke sekolah. Majlis diserikan lagi dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Zulkifli bin Sulong. Ceramah itu turut disertakan dengan soalan kuiz berkaitan dengan ceramah yang disampaikan. Tidak ketinggalan, pelajar turut menyertai Pertandingan Nasyid, Berzanji, Pertandingan Melukis Poster dan Banner. Acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan reaksi yang positif dari para pelajar. 

          Semoga dengan program yang dijalankan ini, para pelajar dapat memantapkan lagi aspek rohani yang sebenarnya amat penting dalam menyokong perkembangan dan kehidupan bagi setiap individu.

Barisan Pentadbir & Wakil PIBG SMKTD2
Peserta Berzanji (Perempuan)
Peserta Pertandingan Nasyid









TERIMA KASIH KERANA MEMBACA ENTRI INI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
All right reserved by Raudhatul Jannah