Surau SMKTD2 telah mula beroperasi di awal pembukaan sekolah lagi iaitu pada tanggal 6 Januari 2003, Majlis yang pertama kali diadakan di surau ialah Majlis Bacaan Yasin sempena pembukaan sekolah yang diketuai oleh Yang berbahagia Imam Masjid Kempas dengan dihadiri oleh para guru sekolah ini.
Namun pada tanggal 28hb April 2007, sempena sambutan Majlis Maulidur Rasul , surau ini telah dimasyhurkan dengan nama "Surau Raudhatul Jannah" secara rasminya dan disempurnakan oleh Puan Hajah Saadiah Bt Said, Pengetua Sek Men Keb Taman daya 2 pada masa itu.
Seindah dengan namanya, Raudhatul Jannah yang membawa maksud Taman Syurga, diharap dapat terus menabur bakti dan jasanya kepada penghuni sekolah di dalam melahirkan warga sekolah yang berilmu dan bersahsiah tinggi.
Surau bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadat tetapi juga menjadi medan untuk menimba ilmu seperti majlis ilmu, ceramah, bengkel dan sebagainya. Serta menjadi tempat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan seperti aktiviti gotong royong, kelas-kelas agama, program amal dan sebagainya.
Sehubungan itu, demi mewujudkan surau ibarat Taman Syurga, pelbagai kemudahan dan perancangan demi kepentingan sekolah akan diwujudkan di surau ini. Diharap semua warga sekolah dapat menjaga dan menyayangi surau dengan sebaiknya.